CATATAN-CATATAN DALAM SEJARAH ISLAM, HAJI DITANGGUH/DIHALANG.
Sepanjang sejarah, lebih kurang 40 kali ibadah Haji samada dibatalkan ataupun jemaah Haji adalah teramat sedikit untuk tahun itu menurut Badan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdul Aziz. Bukanlah perkara yang tidak pernah berlaku peristiwa Masjidil Haram "kosong", tetapi ianya tetap menjadi peristiwa yang menyedihkan kaum Muslimin.
Antara punca peristiwa ini berlaku adalah :
- Epidemik/wabak.
- Kekacauan politik.
- Keruntuhan ekonomi.
- Keselamatan yang tidak terjamin.
- Konflik.
- Serangan perompak dan penyamun.
Antara tahun dan peristiwa berlakunya Haji ditangguh atau terganggu :
1. 251 H / 865 M.
Ismail bin Yusuf Al-Alawi yang dikenali sebagai Al Safak bersama angkatannya telah memberontak kepada Khalifah Abbasiah dan membunuh beribu jemaah Haji yang sedang berada di Bukit Arafah, memaksa kepada pembatalan Haji.
2. 317 H / 930 M.
Antara peristiwa paling masyhur berkaitan pembatalan Haji adalah peristiwa "Pelanggaran Qaramitah". Satu kumpulan yang digelar Qaramitah telah menganggap Haji merupakan perbuatan yang jahiliyyah dan bukan dari Islam. Mereka yang dipimpin oleh Abu Tahir Qaramitani melakukan serangan kejam ke atas Mekah ketika musim Haji. Menurut catatan sejarah, mereka telah membunuh 30,000 jemaah Haji sambil membaca ayat Al Quran dengan niat mempersenda mangsa yang terkorban. Malah mereka telah mengkebumikan mangsa yang terkorban tanpa mandi, kafan, ataupun solat jenazah. Mereka malah telah membuang 3,000 mayat ke dalam telaga berkah, telaga Zam-Zam dan langsung memusnahkannya. Mereka juga telah mencuri Hajarul Aswad dari Ka'bah dan membawanya ke pengkalan mereka di timur Saudi di sebuah tempat bernama Hajr(kini dipanggil Qatif) selama 22 tahun. Dikatakan, ibadah Haji tidak dapat dilakukan sehingga 10 tahun selepas peristiwa ini.
3. 357 H / 968 M.
Haji tahun ini dibatalkan kerana penyebaran wabak yang dipanggil "Penyakit Al-Mashiri" melanda Mekah, disebabkan penyakit ini ramai jemaah yang meninggal dan unta mereka juga mati kerana kehausan dan hanya sebilangan kecil yang sampai ke Mekah.
4. 390 H & 419 H / 1000 M & 1028 M.
Haji tidak dapat dilaksanakan kerana kos yang terlalu tinggi dan juga inflasi. Sebab yang sama juga menjadi punca tiada yang menunaikan Haji dari Timur dan Mesir pada tahun 419 H.
5. 492 H / 1099 M.
Suasana berkecamuk dan perang saudara yang melanda kaum Muslimin menyebabkan Haji tidak dapat dilaksanakan bermula 5 tahun sebelum kejatuhan Baitulmaqdis kepada Tentera Salib.
6. 654 H / 1256 M.
Selain dari Hijaz, tiada negeri muslimin yang lain yang menunaikan Haji kerana konflik yang berlaku selama 4 tahun.
7. 1213 H / 1799 M.
Perjalanan Haji terhalang disebabkan Revolusi Perancis yang menyebabkan perjalanan menjadi tidak selamat.
8. 1246 H / 1831 M.
Wabak dari India telah merebak dan menjangkiti jemaah Haji sehingga menyebabkan kematian sebahagian besar daripada jemaah.
9. Dari 1252 H ke 1310 H / 1837 M ke 1892 M.
Epidemik yang merebak selama beberapa tahun dari tahun 1837 M sehingga 1892 M dengan kematian harian yang mencecah ribuan orang. Pada tahun 1871, wabak ini melanda bumi Madinah. Wabak yang dipanggil Taun atau Kolera ini merebak semasa musim haji, kematian bermula di Arafah dan memuncak di Mina.
10. Tahun 1441H / 2020 M.
Virus Korona yang dikenali juga dengan nama Covid-19 melanda dunia, pandemik. Ekonomi dunia menjadi lumpuh dan sempadan antarabangsa ditutup memaksa ibadah Haji hanya dapat dilakukan oleh mereka yang berada di Arab Saudi sahaja.
Diterjemah dan disunting dari artikel asal oleh : Abu Razan.
Ulasan
Catat Ulasan